Dalam sekelompok itu, aku yang asing, atau yang suka mengasingkan diri.
*Asing dari segi umur, pekerjaan mahupun status perkahwinan
Perjalanan ke Bandung waktu itu hampir di penghujung. Hari terakhir hari acara bebas. Ada diantara mereka mahu ke Tangkuban Parahu. Ada juga yang mahu ke Factory Outlet. Yang aku pula, di bilik. Ingin menelaah dan menghembuskan sisa penat kononnya.
Petang seusai Asar, aku punya perasaan kuat untuk keluar berjalan di kawasan sekitar. Walaupun aku khuatir akan beberapa perkara, namun dengan segala sisi kelemahan yang ada padaku, ku pohon jua doa padaNya. Mohon diampuni segala dosa dan berikan apa yang terbaik buat ku.
Perjalanan ini pendek sahaja. Ku harungi denai yang sempit dan macet (sesak). Tiada tujuan yang nyata melainkan ingin mengenali Indonesia lebih lagi.
Pagar yang memisahkan kawasan Universitas dengan kawasan luar.
Di penghujung jalan, aku menjumpai sebuah Toko Buku Islami (kedai buku).
Diam, sunyi suasana di situ. Buku-buku berhabuk. Aku tanggalkan sepatuku lalu memberi salam. Salam ku disahut oleh dua orang ikhwan. Aku mula membelek buku-buku disitu. Semuanya menarik. Namun suasana yang sunyi itu ditambah dengan kebanggaan kepada Ayatullah Khomeni menghambat aku untuk keluar tanpa membeli sebuah buku pun. Duit juga nggak ada.
Aku berjalan berpaling arus kali ini. Tiba di lorong untuk pulang ke hotel, aku terhenti. Mahu meneruskan atau pulang saja?
Di depan nampak lebih tenang. Aku cuba maju. Subhanallah, selang beberapa toko (kedai), ialah sebuah Masjid. Di depan masjid terdapat deretan kedai-kedai Islami yang lain, yang menjual buku-buku yang jauh lebih menarik dari kedai yang sebelumnya, menjual gamis-gamis (jubah) yang cantik, tshirt labuh yang banyak. Menarik! Tapi untuk yang berduit sahajalah.
Memang di dalam poketku hanya ada 20,000 rupiah. Memang tidak cukup untuk membeli apa-apa pun selain minuman ringan. Tak apalah, memang aku telah katakan pada diriku yang tujuan aku bukan untuk membeli.
Aku singgah toko demi toko. Bersembang dengan penjual di situ. Sampai di toko yang ke-empat, penjualnya agak muda. Aku mula dengan hobi ku. Tanya itu dan ini. Pertanyaan aku semuanya disambut dengan baik, malah mesra sekali.
Echa, nama diberi. Sememangnya gadis ini yang baru berusia 17 tahun adalah gadis yang jauh lebih matang dari rata-rata manusia di Malaysia yang aku kenali. Baru sekejap cuma bertemu dengannya, tapi perbualan kami telah sampai ke Jepang, penjajahan Belanda, Kleptomania (orang yang punya hobi mencuri), keluarga, matlamat kami, kegigihannya dalam sukarelawan dan semuanya pasti diselit dengan ingatan kepada Yang Khaliq. Memang berbunga-bunga waktu itu.
Dari Asar ke Maghrib aku temani Echa di toko. Waktu maghrib, Echa menutup toko buat sementara waktu. Sementara menunggu azan maghrib berkumandang, Echa sempat membawa aku ke tempat Muslimah Centre, tempat berkumpulnya para akhawat untuk bermacam-macam program. Kemudian kami menuju ke masjid untuk berjemaah.
Di hadapan Muslimah Centre

(Di Masjid Daarut Tauhid) Kasut di susun kemas dan memudahkan untuk terus keluar seperti gaya orang Jepun.
Echa memimpin tangan aku dengan kemas sekali. Menemani aku sehingga ke hotel (kerana aku takut pulang sendiri kerana waktu hampir gelap).
Buat kesekian kalinya, aku tidak menyesal menolak untuk pergi bersiar-siar bersama yang lain. Perjalanan aku ini memang butuhkan waktu sendirian, untuk mencari ilmu, menadah tarbiyyah dariNya yang datang dari alam dan dari manusia sekeliling.
Alhamdulillah.

